imageApa itu sedekah?
Sedekah merupakan amalan yang mempunyai kedudukan sangat tinggi di sisi agama Islam dan menjadi pemangkin kepada wujudnya masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Sedekah dapat menjadikan seseorang hamba itu lebih bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan ALLAH SWT terhadapnya.
Secara ringkasnya, sedekah boleh difahami sebagai memberi sesuatu atau barang kepada orang yang memerlukan dengan hati yang ikhlas. ALLAH SWT akan melipat gandakan setiap sedekah seorang hamba-NYA sekiranya sedekah tersebut disantuni dengan rasa ikhlas dan tidak disertai umpatan (cercaan) mahupun menyakiti perasaan penerima.
Bagi mereka yang sentiasa berlumba – lumba untuk menginfakkan harta di jalan Allah, maka ganjaran yang ditawarkan sangatlah bernilai dan terdapat dalam al-Quran pada surah al-Baqarah ayat 265 yang bermaksud: “Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk mencari reda ALLAH dan untuk memperteguh jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun pun sudah memadai. Sesungguhnya ALLAH melihat setiap apa yang kamu kerjakan”.
Sejauh mana peranan Takaful dalam konsep bersedekah?
Terdapat pelbagai cara untuk bersedekah yang sering diamalkan khususnya di Malaysia. Salah satu medium bersedekah adalah dengan menyertai sijil takaful yang berlandaskan prinsip syariah.
Takaful dan sedekah sangat berkait rapat dan tidak dapat dipisahkan. Hal ini kerana skim takaful itu sendiri dibangunkan atas dasar sedekah menggunakan konsep Tabarru’ iaitu setiap peserta takaful akan berterusan menderma wang sumbangan untuk digunakan sekiranya berlaku tuntutan kematian atau apa-apa jenis musibah yang terjadi kepada peserta seperti yang telah termetrai di dalam kontrak takaful itu sendiri.
Tabarru' bermaksud suatu bentuk derma ikhlas yang disumbangkan oleh satu pihak dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain. Tabarru’ diklasifikasikan sebagai kontrak satu pihak (unilateral) iaitu cukup dengan hanya satu pihak sahaja yang melafazkan sesuatu pemberian tanpa ada sebarang pertukaran.
Dalil yang mengiktiraf konsep tabarru’ sebagai sedekah antaranya firman ALLAH SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254).
Dalam sistem takaful, pihak pengendali takaful akan memperuntukkan sebahagian sumbangan (wang) para peserta ke dalam sebuah tabung yang dinamakan tabung risiko. Sumbangan daripada tabung ini akan digunakan untuk membantu sekiranya berlaku musibah ke atas para peserta. Selagi peserta takaful menyumbang ke dalam tabung tersebut, selama itulah mengalirnya pahala sedekah yang sangat tinggi nilainya di sisi Islam. Konsep sedekah dalam takaful menggalakkan semangat tolong-menolong dan berkasih sayang tanpa mengira agama mahupun bangsa.
Jika dinilai dari mata kasar, kita mungkin melihat penyertaan takaful hanya sebagai keperluan untuk melindungi keluarga kita walhal tanpa disedari para peserta takaful adalah sebahagian daripada jutawan sedekah, yang insya-ALLAH akan diberi ganjaran yang setimpal oleh ALLAH SWT di dunia lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Ingatlah, sesungguhnya ALLAH SWT sahajalah yang memberi rezeki kepada hamba-NYA tanpa perhitungan dan sama-samalah kita berusaha mencari keredaan-NYA dan semoga diterima segala amalan yang kita kerjakan. Wallahuaklam.