image
JITRA – Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu peribahasa yang boleh menggambarkan kehidupan perit yang kini ditanggung oleh seorang bekas kerani akaun.
Zuraidah Zabidi, 50, yang juga seorang ibu tunggal kini menderita akibat penyakit diabetes yang dialami sejak 15 tahun lalu.
Susulan penyakit itu, dia kini tidak berkemampuan untuk bekerja kerana menghadapi masalah kesihatan mata yang kronik berikutan urat matanya pecah dan kehilangan fungsi melihat.
Menurut Zuraidah, kehidupannya 10 tahun lalu sebagai seorang kakitangan awam di sebuah universiti di Pulau Pinang cukup sempurna.
Bagaimanapun katanya, segalanya berubah selepas dia bersara kerana ingin melakukan perniagaan jualan langsung.
“Pada mulanya perniagaan yang saya buat itu berjalan lancar, tetapi semuanya berubah selepas menghadapi masalah kesihatan mata sejak dua tahun lalu.
“Bermula daripada itu kehidupan saya bersama anak tunggal semakin susah berikutan hilang punca pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Tambah Zuraidah, wang pencen yang diperoleh sebanyak RM800 sebulan tidak dapat menampung keperluannya, lebih-lebih lagi bagi mendapatkan rawatan mata.
“Wang pencen hanya cukup untuk bayar sewa rumah dan sedikit keperluan. Sedangkan saya masih perlukan sumber kewangan untuk rawatan dan lain-lain.
“Apa yang penting sekarang adalah rawatan mata. Kalau mata saya sihat, Insya-ALLAH bolehlah saya bekerja semula,” katanya.
Dalam pada itu Zuraidah berkata, dia juga menanggung bebanan hutang yang banyak selepas diisytiharkan muflis oleh Bank Negara.
“Rumah saya pun dah kena lelong, sekarang hidup saya memang susah. Anak saya pun tak dapat bekerja sebab nak jaga saya.
“Saya harap sekarang ini ada pihak yang sudi bantu untuk kos rawatan mata,” katanya yang mendapat rawatan laser sebulan sekali di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Dalam keadaan mata yang pada tahap kronik, Zuraidah kini tidak dapat melihat dengan sempurna dan banyak menghabiskan masa di dalam rumah.
Tambah pula, kakinya turut cedera akibat terjatuh sejak dua tahun lalu.
“Sekarang ni berjalan pun bertongkat, luka lambat sembuh sebab kencing manis. Hidup saya sekarang cuma bergantung kepada anak tunggal saya.
“Saya sangat berharap ada pihak yang dapat membantu untuk perbelanjaan kos rawatan mata saya,” katanya yang kini menyewa di Taman Mahsuri, dekat sini.