DALAMĀ kematian yang melibatkan ibu atau bapa, pertikaian akan berlaku antara adik-beradik berkaitan harta peninggalan ibu bapa jika ada kekeliruan berkaitan harta tersebut.
Pada asasnya, jika harta tersebut tidak ditentukan penerimanya atau dalam erti kata lain tidak dihibahkan, maka adalah menjadi kewajipan adik-beradik atau waris-waris lain untuk mengikuti ketetapan pembahagian sebagaimana yang digariskan oleh sistem faraid.
Ini kerana Islam telah menetapkan kadar dan pembahagian hak yang tertentu bagi waris-waris si mati. Penentuan ini boleh dibuat berdasarkan perintah faraid yang boleh diperoleh di mahkamah syariah.
Bagaimanapun, pertikaian akan berlaku jika si mati iaitu ibu atau bapa semasa hidupnya ada menyatakan untuk memberikan harta tertentu kepada salah seorang anaknya. Jika perkara ini tidak ditentukan maka akan berlakulah pertikaian dalam kalangan adik-beradik tersebut.
Dalam menyelesaikan perkara ini, perkara yang perlu dilihat ialah apakah kehendak si mati semasa hidupnya. Jika si mati mewasiatkan sesuatu harta kepada salah seorang anaknya, yang merupakan waris kepada si mati, maka adik-beradik ini perlu menyelesaikannya secara perundangan.
Jika didapati bahawa wujudnya wasiat yang demikian, maka perlu pula dilihat kepada kesahihan wasiat tersebut. Jika wasiat tersebut dibuat kepada salah seorang anak si mati, yang jelas merupakan waris maka ia memerlukan persetujuan daripada adik-beradik yang lain yang juga merupakan waris kepada si mati.
Jika ia dipersetujui, maka wasiat tersebut boleh dilaksanakan dan waris tadi berhak untuk memiliki harta tersebut.
Sekiranya si mati berhasrat memberikan sesuatu harta kepada salah satu anaknya, atau dalam erti kata lain menghibahkan hartanya kepada anaknya sendiri, maka rukun-rukun hibah itu perlu dipenuhi. Jika sempurna rukun hibah itu, maka harta itu akan sah jadi milik anak tersebut.
Pertikaian antara adik-beradik ini sewajarnya tidak berlaku demi menjaga tali persaudaraan keluarga. Jika berlaku, tempat utama yang perlu menjadi rujukan adalah mahkamah syariah. Mahkamah akan menentukan sama ada harta tersebut akan menjadi faraid, hibah atau harta yang perlu diwasiatkan.
Adik-beradik ini tidak wajar membuat keputusan sesama sendiri yang tentunya akan lebih merumitkan keadaan dan merenggangkan hubungan antara keluarga.
Suka dinyatakan adik-beradik tetap adik-beradik meski apa pun yang berlaku. Tiada persaudaraan yang tidak ditimpa masalah, oleh itu selesaikanlah dengan cara berhemah dan menerusi perundangan.
Roshdan Sujak Rafie, Pengamal Undang-Undang