INSURANS adalah pemindahan risiko daripada seorang individu seperti anda atau sebuah organisasi seperti syarikat kepada syarikat insurans.
Anda atau syarikat anda akan dikenali sebagai pemegang polisi.
Syarikat insurans akan menerima bayaran daripada anda dalam bentuk premium dan sekiranya anda mengalami sebarang kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar pampasan kepada anda.
Takaful adalah pelan perlindungan berdasarkan prinsip syariah.
Dengan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan (tabarru), anda memeterai kontrak (aqad) bagi membolehkan anda menjadi seorang    peserta dengan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian yang ditetapkan.
Kedua-dua insurans dan takaful mempunyai prinsip asas yang sama. Sebagai contoh, pemegang polisi (anda) mestilah mempunyai kepentingan yang sah terhadap barang atau hayat yang diinsuranskan.
Ini bermakna, anda akan menanggung kerugian kewangan sekiranya berlaku sesuatu kerosakan atau kehilangan kepada harta benda atau hayat yang diinsuranskan.
Anda tidak perlu membeli lebih daripada satu polisi atau pelan untuk melindungi harta anda.
Sekiranya anda memiliki lebih daripada satu polisi, anda hanya boleh membuat satu tuntutan jika sebarang kerugian atau kerosakan berlaku.
[ARTIKEL BERKAITAN: Akui wujud polisi insurans tidak jelas]
Jumlah yang boleh dibayar akan disumbangkan oleh syarikat-syarikat insurans yang terlibat. Oleh itu, anda tidak boleh meraih keuntungan daripada polisi insurans am atau pelan takaful.
Sekiranya anda mengalami kerugian, syarikat insurans akan membayar pampasan yang setimpal atau anda akan diletakkan kepada keadaan yang sama sebelum berlaku kerugian.
[ARTIKEL BERKAITAN: Isu insurans: Kenapa perkara ini terjadi?]
Bagaimanapun, anda boleh membeli lebih daripada satu polisi untuk melindungi hayat anda.
Kontrak insurans atau takaful adalah atas prinsip penuh percaya mutlak.
Oleh itu, anda sebagai pemegang polisi atau pelan haruslah mendedahkan semua maklumat penting yang diperlukan.
Sekiranya anda gagal mendedahkan maklumat berkenaan, polisi atau pelan anda mungkin tidak sah dan anda tidak akan dilindungi ke atas sebarang kerugian atau kerosakan.
Selain itu, di bawah pelan takaful, anda boleh menikmati perkongsian lebihan daripada dana takaful, berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tahun tersebut.